Di antara banyak kelebihan yang boleh di dapati dengan Solawat ke atas Nabi SAW dan keluarganya ialah :
1. Berakhlak dengan akhlak Allah - sebagaimana Allah SWT sendiri telah menjelaskan di dalam Ayat Al-Quran yang mulia bahawa Dia sendiri bersolawat ke atas Nabi SAW, maka bersolawat ke atas Nabi sebaik-baik makhluk SAW adalah sunnah Ilahiyyah yang tidak dapat tidak merupakan perumpamaan daripada perintah 'berakhlaklah kamu dengan akhlak Allah SWT.
2. Ketaatan kepada Allah - sebagaimana diperintahkan di dalam Ayat-Nya 'Wahai orang yang beriman, bersolawatlah kamu ke atasnya dan ucapkanlah salam ke atasnya', adalah jelas bahawa mematuhi perintah Allah merupakan kejayaan yang besar, seperti yang diisyarakan di dalam surah Al-Ahzab : 71 'Sesiapa yang taakan Allah dan RasulNya maka dia telah berjaya dengan kejayaan yang agung'.
3. Sifat Malaikat - Sesungguhnya solawat ke atas Nabi SAW dan keluarganya merupakan sifatnya para Malaikat, maka sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia merupakan sebahagian atau daripada mereka, justeru itu solawat ke atas Nabi SAW mengangkat darkat insan ke taraf malaikat.
4. Masuk Ke Dalam Keselamatan Allah - Dengan bersolawat ke atas Nabi SAW dan keluarganya, seorang insan telah masuk ke dalam 'Salam' (keselamatan) Allah SWT, maka barangsiapa yang telah masuk ke dalamnya akan aman daripada sebarang bahaya.
Diriwayatkan pada suatu hari Rasulullah SAW datang (kepada sahabat) dengan wajah yang berseri-seri lalu baginda bersabda,Telah datang kepadaku Jibrail lalu berkata bahawa Allah SWT telah berfirman '' Tidakkah dikau redha wahai Muhammad bahawa tidak bersolawat kepadamu seseorang daripada umatmu melainkan Daku bersolawat ke atasnya dengan sepuluh solawat dan tidak mengucapkan salam kepadamu seseorang daripada umatmu melainkan Daku mengucap salam ke atasnya dengan sepuluh salam''.
5. Penyempurnaan solawatnya Malaikat - Diriwayatkan oleh Imam Jaafar Al-Sadiq AS, 'Apabila disebutkan Nabis SAW maka banyakkanlah bersolawat ke atasnya, yang demikian bahawa barangsiapa yang bersolawat ke atas Nabi sekali, maka Allah bersolawat ke atasnya dengan seribu solawat pada seribu saf Malaikat, dan tidak berbaki daripada apa yang diciptakan Allah melainkan semuanya bersolawat ke atas hamba tersebut disebabkan solawat Allah dan Malaikat kepadanya, dan tidaklah berharap agar ianya tidak benar melainkan mereka yang jahil bongkak yang Allah dan RasulNya telah berlepas diri daripada mereka'.
6. Hubungan Rohani dengan Limpahan Yang Sempurna - Para ulama berpendapat bahawa roh manusia akan bertambah lemah hubunganya dengan cahaya ilahi apabila ianya lebih banyak bermuamalah dengan badan dan pancaindera yang lain, kecuali jika terdapat hubungan yang bermakna di antara roh manusia tersebut dan Nabi yang diutuskan di zamannya. Ini disebabkan bahawa roh para nabi mempunyai hubungan rohani yang sangat rapat dan melimpah rahmatnya dengan cahaya Ilahiyah, maka jika roh manusia selari dan rapat hubungannya dengan Nabinya, maka dengan sendirinya roh manusia akan lebih mendapat limpahan rahmat daripada Tuhannya. Ini akan dapat dicapai dengan amalan Solawat kerana solawat terdiri daripada penerimaan Tauhid, Kenabian dan Wilayahnya para Imam. Disebabkan ini Nabi SAW bersabda bahawa manusia yang paling rapat denganya di hari pembalasan ialah mereka yang paling banyak bersolawat kepadanya. Disebabkan ini juga Imam Hassan Al-Askari (keturunan Ahlul Bait Nabi SAW) dilaporkan berkata,'Bahawasanya telah dipilih Allah Nabi Ibrahim sebagai Khalil (Kekasih) nya disebabkan banyaknya baginda bersolawat kepada Muhammad dan ahli keluarganya (SAW)'.
7. Solawat para Mukminin - Sesungguhnya solawat para Mukminin menunjukkan Mahabbah (kasih sayang) mereka kepada Kekasih Allah, bukan paksaan sebaliknya adalah pilihan yang terhasil daripada kesucian hati dan aqidah yang ikhlas. Dalil daripada kenyataan bahawa solawat adalah daripada mahabbah ialah antara tanda-tanda kasihnya seseorang terhadap kekasihnya ialah dengan banyak mengingatinya. Diriwayatkan daripada Anas Bin Malik, bahawa datang seorang lelaki dari padang pasir, dan ianya menghairankan kami kerana ia datang untuk bertanya kepada Nabi SAW, maka ia bertanya : Ya Rasulullah, bilakah akan berlakunya kiamat? Sedang tiba waktu solat, maka sebaik menunaikan solatnya, Nabi SAW berkata : Dimanakah orang yang bertanya tentang kiamat tadi? Maka dia menjawab : Saya wahai Rasulullah. Bertanya Nabi SAW : Maka bagaimana kamu mengiranya? Dia menjawab : Demi Allah daku tidak mengiranya dengan banyaknya amal, tidak solat dan tidak puasa, melainkan bahawa sesungguhnya daku menyintai Allah dan RasulNya. Maka jawab Nabi SAW : Seseorang itu bersama dengan siapa yang dicintainya. Berkata Anas : Tidak ku melihat kaum Muslimin lebih gembira selepas keislaman mereka lebih daripada gembiranya mereka pada ketika itu.
8. Kedekatan dengan Rasul SAW - Sebagaimana sabda baginda 'Sebaik manusia di sisiku pada hari kiamat ialah yang paling banyak bersolawat kepadaku'.
9. Aliran Syafaat Nabi SAW - Sabda Nabi SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Amirul Mukminin Ali Bin Abi Talib AS 'bahawa barangsiapa bersolawat kepadanya di waktu siang atau malam, maka wajiblah baginya syafaatnya (Nabi) walaupun dia daripada kalangan pembuat dosa besar'.
10. Menjauhi Bala Bencana - Umat-umat terdahulu telah melakukan amalan bagi menjauhi bala dengan bersolawat, bahkan para anbiya' juga bertawasul kepada Allah melalui 5 diri Ahli Kisa' yang suci (Muhammad, Ali, Fatimah, Hassan & Hussain) bagi menjauhkan diri daripada sebarang bala'. Maka adala lebih afdhal umat ini mendapat manfaat yang lebih dengan bersolawat ke atas Nabi SAW dan keluarganya.
11. Kemenangan dengan Solawat - Berkata Amirul Mukminin Ali AS : Sesungguhnya Allah SWT telah memberitahu Rasulullah SAW tentang keimanan kaum Yahudi terhadap dengan Nabi Muhammad SAW sebelum kemunculan baginda, antaranya dengan berlindung daripada musuh mereka dengan mengingati dan bersolawat ke atas baginda dan keluarganya, dan bagaimana Allah SWT telah memerintahkan kaum Yahudi di zaman Nabi Musa AS dan selepasnya bahawa jika mereka diserang dengan serangan yang menggoncangkan, maka hendaklah mereka berdoa kepada Allah dengan Muhammad dan kelurganya yang suci, maka mereka akan mencapai kemenangan, justeru mereka pun beramal dengan amalan tersebut.
12. Menunaikan Hajat Dunia dan Akhirat - Diriwayatkan daripada Imam Jaafar al-Sadiq AS : Barangsiapa mengucapkan " رب صل على محمد وأهل بيته", Allah akan menunaikan 100 hajatnya, 30 daripadanya di dunia dan 70 lagi di Akhirat.
13. Keampunan dari Dosa - Ditanya Imam Jaafar Al-Sadiq AS : Bagaimana kita bersolawat ke atas Muhammad dan keluarganya? Dia berkata : Katakanlah kamu 'صلوات الله وصلوات ملائكته وأنبيائه ورسله وجميع خلقه على محمد وآل محمد والسلام عليه وعليهم ورحمة الله وبركاته". Lalu beliau ditanya apakah kelebihan solawat ke atas Nabi dan keluarganya dengan solawat ini? Beliau menjawab : Demi Allah keluar (diampunkan) dari dosa sebagaimana bayi yang baru dilahirkan ibunya.
14. Keafiatan - Sabda Rasulullah SAW : Barangsiapa bersolawat kepadaku sekali, Allah membuka baginya satu pintu dari keafiatan (kesihatan). Diriwayatkan juga bahawa barangsiapa bersolawat ke atas Muhammad dan keluarganya sebnyak 100 kali selepas solat Zohor, diberikan 3 kelebihan : Tidak akan dibalakan dengan hutang, jika sedang berhutang Allah akan menunaikan bagi dirinya dan Allah akan memelihara Imannya dari kedhaifan.
15. Penunaian janji yang dilafazkan di alam Roh - Sesungguhnya solawat ke atas Muhammad dan keluarganya adalah alamat tertunainya janji dan perakuan yang dilafazkan insan ketika di alam roh (sebelum dilahirkan ke dunia) di mana ketika di sana manusia telah diminta akujanji akan keEsaan Allah, keRasulan NabiNya serta keWilayahan para ImamNya. Dengan solawat, maka tertunailah akujanji tersebut di dunia. Diriwayatkan daripada Imam Jaafar Al-Sadiq AS : Barangsiapa bersolawat ke atas Nabi Muhammad SAW maka ia bermaksud bahawa áku sedang melaksana dan menunaikan akujanji yang telah kubuat ketika daku mengakui ketika Allah berkata : Bukankah daku adalah Tuhanmu (Alastu birabbikum?), maka mereka berkata, bahkan, ya! (Qalu bala).
Sumber : kitab Khazanat al-Asrar Fi al-Khutum wa al-Azkar (Sayyid Muhammad Taqi al-Muqaddam)
...bersambung....
No comments:
Post a Comment